MENU

Sejarah Awal Daerah Alor Gajah

Alor Gajah terletak 19 kilometer dari bandaraya Melaka. Antara Tahun 1832 hingga 1937, sebelum jatuh ke tangan Melaka, bandar ini dahulunya terletak di dalam daerah Tampin, Negeri Sembilan. Nama "Alor Gajah", sebenarnya berpunca daripada tabiat sekumpulan gajah liar dan kononnya diketuai oleh seekor gajah putih yang sangat gemar berjalan secara berkumpulan menuruti alur sebatang sungai. Sejak dari peristiwa tersebut penduduk tempatan menamakan bandar ini Alor Gajah dan kekal hingga ke hari ini.

Menurut catatan sejarah bandar ini mula diterokai oleh orang-orang Minangkabau pada kurun ke-12. Penghijrahan beramai-ramai penduduk Minangkabau dari daerah Tampin semasa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka menyebabkan wujudnya penempatan penduduk. Sejak itu kawasan ini menjadi kawasan penempatan yang pesat dengan penduduknya bekerja sebagai petani. Semasa pemerintahan Datuk Naning Dol Said, aktiviti perdagangan telah mula berkembang dengan pembukaan kedai-kedai di bandar ini. Semasa Inggeris menjajah Melaka, bandar ini turut diperintah oleh Inggeris dan memasukkan bandar Alor Gajah di dalam peta Melaka.

Daerah Alor Gajah yang luasnya 66,302 hektar rmengandungi (3) tiga buah bandar dan enam belas buah pekan kecil. Bandar tersebut ialah Pulau Sebang, Alor Gajah dan Masjid Tanah yang dikelilingi pekan-pekan kecil iaitu Simpang Empat, Ramuan Cina Besar, Kuala Sungai Baru, Lubok Cina, Durian Tunggal, Simpang Gading, Pengkalan Balak, Brisu, Lendu, Kuala Linggi, Ramuan Cina Kecil dan Rembia. Kesemua bandar dan pekan ini terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Alor Gajah.

-Sumber dari Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

    

Kemaskini Terakhir: Rabu, 2 Disember 2020 - 9:03am